Salam Spirituality Dari Dublin
- theraccoonarmy

- Jul 17
- 4 min read
Updated: Aug 27

Nukilan ini khas untuk yang berbahasa Melayu.
Menulis dalam bahasa Melayu ni nyut dia lain rasa dekat sangat di hati.
Penulisan tu rasa lebih ikhlas.
Ada yang baca atau tidak itu lain cerita kita tolak tepi dulu.
Saya sendiri pun Melayu Banjar, Melayu luar dalam walaupun ada iras nihaoma.
Masa tengah bertarung di dapur masak mee goreng terdetik idea nak buat satu penulisan menggunakan bahasa Melayu sebanyak yang mungkin.
Kenapa tidak kan?
( Gittew Che Nom)
Ayat mungkin meraban atau ke laut sebab dah sekian lama tak bekarya .
Kali terakhir rasanya masa di Kolej Mara Banting dalam 20 tahun lepas ketika dihazab menulis karangan oleh Cikgu Fatimah yang sangat lagenda.
Dengan rendah diri saya mohon maaf kalau penulisan sendu tak lepas piawaian SIRIM anda tapi harapnya isi perbincangan sampai ke segala lubuk baik yang keramat dan juga yang berpuaka.
Kepada yang meluangkan masa memerah keringat sampai pening lalat ,sembelit teruk atau jatuh peranakan semua ntuk baca dan ikuti blog ni kita ucapkan tahniah dan terima kasih.
Harap dapat memberi panduan dalam menjalani kehidupan anda.
Kalau kandungan yg dibincangkan rasa semacam, pelik atau keterlaluan jangan panik atau maki serta merta.
Jangan bertempik. Ini bukan hantu.
Tahan dulu kata nista carutan maut itu . Peram dulu tahi itu biar crispy.
Tarik nafas dan tenangkan diri dahulu.
Sedut.

Cuba renungkan kehidupan sendiri.
Cuba tanya dengan ikhlas kepada diri, gembira atau tidak dengan kehidupan kita,siapa kita sebenarnya dan apa tujuan kita dilahirkan di dunia ini?
Sekadar pergi sekolah, kerja, kahwin, bersara dan mati sahaja kah?
Kebiasaannya aturan hidup kita bergantung pada keluarga,kawan, pasangan hidup, kerja ,agama dan negara.
Saya dahulu sebab dari sekolah berasrama maka dari segi kerjaya hanya nampak bidang kedoktoran dan kejuruteraan sahaja.
Biasiswa kerajaan pun selalunya hanya menanggung dua bidang tersebut.
Maka sudahnya menjadi dukterrr setelah mengadap pelbagai cobaan dan dugaan.
Dalam Islam , tujuan hidup adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi.
Kita diajar ntuk melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Nya.
( Meninggal ustazah tengok jawapan standard budak budak masa exam)
Kita percaya pada rukun Islam dan rukun iman yg menjadi asas tiang agama.
Kebanyakan penduduk Malaysia beragama Islam dan menjadi contoh dan inspirasi kepada yang lain.
Kita percaya dosa pahala dan syurga neraka.
Ramai yang sangat baik dan menghayati agama Islam dengan sepenuhnya.
Kebebasan beragama terkandung dalam jata negara dan wajib dihormati semua.
Dalam Islam sendiri menyebut agamaku agamaku dan agamamu agamamu sebagai bukti tiada paksaan dalam beragama.
Kita hidup aman damai.
Agama islam itu sendiri cukup indah agama syumul yang memberi garis panduan dan pedoman kepada ramai.
Islam dan agama agama yang lain akan kekal releven ntuk tempoh masa yang sekian lama.

20 tahun hidup di Malaysia, saya mengamalkan Islam secara beserderhana.
Banyak didikan agama dipelajari terutama ketika di sekolah berasrama di Pokok Sena dan pra universiti di Kolej Mara Banting
Saya melakukan rukun Islam sebaik yang boleh tetapi tidak pernah berkesempatan ke tanah suci Mekah untuk menunaikan haji.
Ketika itu saya percaya dengan Islam sepenuhnya dan berikrar hidup dan mati sebagai seorang islam walau apa pun yang berlaku.
Namun semua itu berubah selepas 20 tahun hidup di perantauan.
Dengan kehidupan yang menuju kehancuran dengan pelbagai masalah hidup( kerja, kehidupan peribadi dan ketagihan dadah) akhirnya saya menemui diri saya yang sebenar melalui kerohanian atau 'spirituality'.
Di sini kita diajar kembali kepada fitrah asal kita yang sebenar.
Siapa kita sebelum dunia menipu kita pada kehidupan sekarang dan kehidupan yang lepas.
Ajarannya indah dan sangat mudah iaitu berbuat baik kepada diri sendiri dan orang yang lain kerana kita semua sama dan bersaudara.
Tiada orang yang lebih dan tiada yang kurang.
Kerohanian ini menyelamatkan saya dari diri sendiri.
Tanpa tuhan sebenar saya tidak akan dapat keluar dari belenggu ketagihan dadah , ujian hidup yang sangat berat.
Pada masa sekarang , mencari ilmu itu sangat mudah di mana semuanya di hujung jari dengan adanya internet dan AI.
Ini adalah kesempatan yang terbaik tambahan pula kebanyakan kita memiliki telefon pintar.
Gunakanlah ChatGP untuk belajar.
Kurangkanlah melayar laman lucah, gossip hiburan dan melepak.
Sudah sudahlah membawang sana sini pagi petang siang malam.
Mohon pedih terasa.
Kita sepatutnya berfikiran terbuka dan mendalami ilmu sebanyak mungkin, menyoal dan menyelidik apa yang disampaikan sama ada betul atau tidak berkali kali.
Yang berbeza pendapat tidak semestinya sesat atau radikal.
Daripada melenting terus menghukum kafir atau ahli neraka adalah lebih baik kita membuat penilaian sendiri dari pelbagai sumber dan kemudian membuat rumusan sendiri.
Perbezaan pendapat itu tidak salah sebaliknya memberi ruang dan kesempatan untuk perbincangan yang membina.
Janganlah percaya sesuatu yang disampaikan mulut ke mulut turun temurun secara membuta tuli.
Sesuatu yang salah akan menjadi benar apabila kebanyakan umum menerima yang salah itu sebagai benar.
Kalau hidup tak tentu arah dan rasa kosong tiada hala tuju mungkin boleh cuba mendalami kerohanian atau spirituality
kalau sekadar nak tahu pun sangat okay.
Bacalah himpunan sajak dari Rumi, seorang sufi Islam kurun ke 13 yang sangat hebat mengajar kita tentang ketuhanan, cinta dan dunia.
Boleh layari video video menarik lagi bermanfaat berdasarkan sajak sajak beliau di YouTube secara percuma.
Lao Tzu dalam Tao Te Ching pun hadiahkan karya agung sejak kurun ke 3-4 sebelum masihi.
81 nasihat lengkap sangat berharga sebagai panduan hidup.
Setiap dari kita mempunyai peraturan hidup yang tersendiri.
Tiada paksaan dalam hidup dan hidup itu sendiri berkisar tentang pilihan.
Hidayah yang membawa kita kembali ke fitrah itu tidak boleh dibeli tapi pastinya akan tiba kelak.
Sekadar renungan dan pandangan sendirian berhad.
Salah silap itu milik saya.
Semoga memberi kebaikan.
Memetik pesanan video ikon tersohor negara diva AA bila ditanya apa kita nak buat dengan orang yang tak suka dengan kita.
“ Hang pergi dekat dekat dengan muka dia hang cakap puiii!!! Hang pasai apa...”
Memang padu nasihat biduanita negara.




